Monday, December 15, 2008

Masa Itu kehidupan

MASA ITU KEHIDUPAN

Umur insan akan terus meningkat seiring dengan detik masa yang berlalu, sehinggalah suatu ketika nanti apabila masa itu terhenti, insan akan dijemput kematian, maka tiada lagi masa dan kehidupan baginya di atas muka bumi ini.

Pernahkah kita fikirkan tentang masa yang telah berlalu, tahukah kita masa yang telah berlalu itu adalah kehidupan kita yang tidak akan berulang lagi?!

Apakah yang telah kita lakukan pada masa yang lalu. Apakah yang telah kita isikan pada kehidupan yang tidak mungkin kembali lagi itu?

Andai masa dan kehidupan yang telah berlalu dipenuhi dan diisikan dengan ketaatan kepada Allah Ta’ala, maka itulah kejayaan dan keberuntungan yang akan berterusan.
Namun jika masa dan kehidupan itu dipenuhi dan diisi dengan kemungkaran, maksiat dan perkara sia-sia, itulah hakikat sebenarnya kerugian yang berpanjangan. FIrman Allah:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian”. (Al-Asr:1-2)

Allah bersumpah atas masa (yang merupakan makhluk ciptaan-Nya), bahawa manusia ini akan kerugian. Apabila masa itu dikaitkan dengan manusia maka ia merujuk kepada kehidupan manusia. Maka firman Allah ini merujuk kepada kehidupan manusia yang sentiasa di dalam kerugian kerana ia tidak mengisi masanya dengan amalan dan perbuatan yang bermanfaat bagi kehidupannya.

Manusia itu tetap akan berada di dalam kehidupan yang penuh dengan kerugian kecuali.....;
“kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran”
(Al-‘Asr:3-4)

Ada insan, bahkan ramai dari mereka yang tidak pernah merasakan kerugian, walau masanya dipenuhi dengan kemungkaran, maksiat dan perkara-perkara yang sia-sia. Malah ia merasakan hidupnya pernah bermakna kerana dipenuhi dengan keseronokkan, kemewahan dan kebebasan. Ia tetap bergembira walau sedang meninggalkan kewajipannya sebagai hamba Allah Ta’ala, ia terus berbangga walau mendedahkan auratnya, ia terus bersuka-ria walau sedang melakukan perbuatan keji dan hina. Insan ini sebenar telah mati walaupun masih bernyawa, yang mati bukan jasadnya tapi hatinya, sehingga ia tidak mampu membezakan antara kehidupan yang membawa keuntungan dan yang sebenarnya dalam kerugian.

Seluruh pancainderanya serta akalnya telah diperdaya oleh Iblis, syaitan dan nafsu serakahnya, sehinggakan ia menjadi buta walaupun masih celik, kerana yang buta bukan matanya tetapi hatinya.

“... Oleh itu, Bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.” (Al-Hajj: 46)

Kesimpulannnya, suburkan hati dengan keimanan agar seluruh anggota tubuh dan panca indera yang masih mempunyai nyawa ini akan mengisi masanya dengan amalan soleh, berpesan kepada kesabaran dan berpesan kepada kebenaran, dengan itu ia akan mendapat kehidupan yang dipenuhi keberuntungan di dunia dan akhirat.

artikel dari email rakan rakan

No comments: